HULU SELANGOR: Calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) perlu memberi tumpuan terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat tempatan berbanding membincangkan hal-hal bersifat nasional dalam siri kempen mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata calon seharusnya lebih mengambil tahu hal-hal tempatan serta membincangkan cara penyelesaian bagi setiap permasalahan dan kesusahan rakyat di KKB.

"Kempen tu tak perlu cakap isu lain, kena ada fokus lokal, jangan ambil kesempatan pentas PRK ini untuk cakap isu-isu nasional, bawa naratif seumpama itu padahal hal-hal yang sepatutnya diutamakan ialah berkaitan KKB.

"Ini termasuk juga naratif fitnah terutamanya pasal program-program kerajaan seolah-olah semua inisiatif yang dilakukan kerajaan ini buruk, tiada yang baik untuk rakyat, tuduhan sebegini hanya akan merosakkan komuniti baik daripada kaum India, Melayu mahupun Cina," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Kak Wan yang dihadiri oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Perdana Menteri, di sini hari ini.

Mengulas keluhan penduduk sekitar KKB mengenai kesusahan dan kekurangan tapak premis perniagaan di kawasan DUN berkenaan, Ramanan berkata perkara itu sudah dalam perhatian kerajaan namun mengakui memerlukan masa untuk menyelesaikannya.

PRK DUN KKB, yang bermula 27 April lepas, menyaksikan calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao iaitu bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ditentang oleh Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) serta Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.

-- BERNAMA